75: KURNIAAN YANG MENJADI ISTIDRAJ |
Orang kafir, musyrik, ahli maksiat, orang
zalim dan lain-lain seumpama mereka, dalam kehidupan dunia ini selalu mendapat
berbagai-bagai kemewahan. Merekalah yang memiliki sebahagian besar kekayaan
dunia. Mereka juga memiliki ilmu pengetahuan yang menjadikan mereka kuasa
besar di dunia. Mereka juga menguasai bidang-bidang sukan, muzik, kesenian
dan lain-lain. Kumpulan manusia yang beriman pula terdiri daripada mereka
yang lemah, tidak berpendidikan tinggi dan berkedudukan rendah dalam masyarakat.
Kemewahan dan kesenangan yang dimiliki oleh mereka yang tidak beriman dan
ahli maksiat mempesonakan sebahagian orang-orang Islam yang lemah imam.
Mereka tidak dapat membezakan kurniaan yang mengandungi nikmat dan kurniaan
yang telah dicabut nikmat daripadanya. Hikmat 75 ini menghuraikan perkara
berkaitan kurniaan yang tidak mengandungi nikmat, yang dinamakan istidraj.
Istidraj bermakna kurniaan yang dihulur terus menerus kepada ahli maksiat.
Kurniaan yang seperti ini membuat ahli maksiat bertambah lalai dan bertambah
derhaka kepada Allah s.w.t. Apabila kelalaian dan kederhakaan mereka telah
melampaui batas maka Allah s.w.t mendatangkan bala yang besar kepada mereka.
Mereka adalah umpama orang yang diangkat ke tempat yang tinggi sambil mereka
menganggap pengangkatan itu sebagai satu kemuliaan namun, setelah mereka
berada di tempat yang tinggi itu mereka dicampakkan ke bawah. Kejatuhan
yang demikian memberi kesakitan yang lebih kuat. Allah s.w.t berfirman:
Ayat di atas memberi peringatan kepada kita agar jangan terpedaya dengan kurniaan yang terus menerus kita perolehi sedangkan kita terus juga tidak berbuat taat kepada Allah s.w.t, sebaliknya kita asyik dengan kemaksiatan. Sekiranya kurniaan itu turun melalui saluran istidraj, kesudahannya kita akan mengalami kejatuhan dan penderitaan yang amat sangat. Waspadalah! Allah s.w.t sentiasa mengirimkan peringatan untuk mengajak manusia kembali ke jalan-Nya. Biasanya peringatan yang datang itu membawa bersama-samanya kesusahan yang menekan jiwa manusia agar manusia insaf dan mahu kembali kepada Allah s.w.t dengan merendahkan diri. Di dalam tempoh kemelaratan itu biasanya manusia menjadi insaf dan suka berbakti pada jalan Allah s.w.t. Kemudian Allah s.w.t gantikan kemelaratan dengan kesenangan sebagai ujian untuk mengasingkan yang benar-benar insaf daripada yang pura-pura. Bila kesenangan sudah dirasai kembali orang yang tidak teguh imannya akan kembali kepada kemaksiatan dan kemunkaran. Mereka memberi alasan bahawa kesenangan dan kesusahan adalah lumrah kehidupan sebagaimana yang pernah dirasai oleh nenek moyang mereka yang dahulu, bukan berkait dengan soal beriman atau tidak seseorang itu kepada Allah s.w.t. Mereka kembali lalai dalam arus kesenangan dunia. Ketika mereka sedang asyik leka itulah Tuhan datangkan kebinasaan kepada mereka. Apabila seksaan dan kebinasaan dari Allah s.w.t datang, tidak ada siapa dapat menghalangnya dan tidak ada siapa mampu menanggungnya. Orang yang menerimanya menjadi bingung, tidak tahu berbuat apa-apa. Sudah banyak kaum-kaum yang dibinasakan Allah s.w.t melalui saluran istidraj. Firaun dan Namrud diberi tempuh yang panjang hidup di dalam kesenangan, kemewahan dan keseronokan. Kemudian Tuhan datangkan azab dengan tiba-tiba. Firaun dibinasakan di dalam laut dan Namrud dibinasakan oleh nyamuk. Qarun juga binasa ketika asyik dengan kekayaan. Begitu juga dengan kaum-kaum Nabi-nabi Nuh dan Luth. Orang-orang yang beriman sentiasa
mengawasi diri mereka agar kesenangan dan kemewahan tidak melalaikan mereka
yang boleh menyebabkan mereka jatuh ke dalam suasana istidraj.
|
|
|