KATA PENGANTAR |
Sebahagian besar generasi terdahulu mendengar kehebatan kitab al-Hikam, mereka mendalaminya, meneliti dan mengutip mutiara yang ada di dalamnya. Perjalanan masa telah merubah manusia, pemergian generasi yang alim dalam bidang tasawuf amat dirasai, sehingga kitab al-Hikam tidak lagi menjadi teks penting dalam pengajian seharian, samada dalam sistem pendidikan formal maupun yang tidak formal; kecuali sedikit. Sebahagiannya memberi alasan istilah dan penggunaan bahasa yang digunakan sukar untuk difahami dengan sebaiknya. Pandangan ini ditambah dengan sikap untuk menjauhi bidang tariqat dan tasawuf, menyebabkan kitab yang bernilai ini diabaikan oleh generasi kini. Oleh itu, terdapat beberapa usaha untuk mentafsirkan kitab al-Hikam yang dilakukan oleh sebahagian ulama, dan ternyata khazanah al-Hikam ibarat air lautan, yang tidak akan kering bahkan lagi jauh penerokaan dilakukan, maka lagi banyak khazanah yang dapat dikeluarkan. Umpama lautan, di permukaan manusia belayar, di dalamnya ribuan jenis makhluk hidup, ikan, udang, ketam dan lainnya, manakala di dasarnya menyimpan jutaan khazanah yang bernilai. Buku Syarah al-Hikam ini merupakan secebis usaha berterusan untuk menggali mutiara yang masih tersembunyi di dalam kitab yang berharga ini. Usaha ini diharapkan dapat menjelaskan kepada umum beberapa persoalan hidup dan kehidupan yang dilalui oleh manusia, kerana putaran kehidupan manusia yang berkisar kepada keperluan zahir dan batin, tidak akan terlepas dari merasai betapa agungnya penciptaan manusia. Akibat fitnah dunia yang dilalui oleh manusia, maka segala khazanah yang berharga telah hilang penilaiannya yang sebenar, menyebabkan manusia bertungkus lumus mencari sesuatu yang akan ditinggalkan; manakala yang akan dibawa diabaikan. Kitab ini juga diharapkan dapat memberi rangsangan kepada kita semua untuk mendekati kembali jalan-jalan kebenaran yang sebenar melalui usaha mendekatkan diri terhadap Allah s.w.t. Usaha ini tentulah lebih mudah kerana penulis menjelaskan penunjuk-penunjuk bagi melaluinya. Dengan gaya bahasa yang mudah dan ulasan yang baik, maka diharapkan buku Syarah al-Hikam ini menjadi panduan bagi umat Islam umumnya dan pencinta kebenaran hakiki memahami jalan-jalan yang sebenar bagi mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Semoga dengan petunjuk Ilahi yang memandu kita kepada jalan kebenaran saya mengharapkan buku Syarah al-Hikam ini dapat membantu pembaca memahami khazanah yang amat bernilai yang ada di dalam al-Hikam. Di samping ianya menambah koleksi tafsiran dan syarah terhadap kitab ini yang dilakukan oleh para ulama-ulama yang lain. Saya mengakui penelitian saya yang singkat
mungkin terdapat berbagai kelemahan, dan saya mengharapkan agar kita menjadi
peneliti yang baik bagi memperindahkan lagi khazanah ilmu ini. Lantaran
itu, sebarang pandangan baik dan nasihat yang berguna diharapkan dapat
kita kutip samada dari teks asalnya ataupun syarah yang dilakukan oleh
penulis.
Sekian, wassalamualaikum wrh wbt. Akhukum fil Islam Dato’ Hj. Tuan Ibrahim bin Tuan Man
|
|