51: KELUAR DARIPADA ALAM KEPADA PENCIPTA ALAM

 

JANGAN KAMU BERPINDAH DARI SATU HAL ALAM KEPADA HAL ALAM YANG LAIN. JIKA DEMIKIAN KAMU ADALAH UMPAMA KELDAI YANG BERPUSING MENGELILINGI PENGGILINGAN, DI MANA IA MENUJU KE SATU TUJUAN, TIBA-TIBA IA KEMBALI KEPADA TEMPAT MULANYA. HENDAKLAH ENGKAU MELINTASI SEMPADAN ALAM DAN MENUJU KEPADA PENCIPTA ALAM. SESUNGGUHNYA KEPADA TUHANMU PUNCAK SEGALA TUJUAN.

Keadaan orang yang tidak dapat melepaskan dirinya dari syirik adalah umpama seekor keldai yang terikat dan berpusing menggerakkan batu penggiling. Walaupun jauh jarak yang dijalaninya namun, dia sentiasa kembali ke tempat yang sama. Jika ia mahu bebas perlulah ia melepaskan ikatannya dan keluar dari bulatan yang sempit. Orang yang mahu membebaskan dirinya dari syirik secara keseluruhannya hendaklah membebaskan perhatian hatinya dari semua perkara kecuali Allah s.w.t. Keluar dari bulatan alam dan masuk kepada Wujud Mutlak.

 Ada beberapa peringkat yang perlu dilalui sebelum mencapai Wujud Mutlak. Peringkat pertama ialah membebaskan diri dari kongkongan penjara alam jasad. Penjara alam jasad ialah hawa nafsu. Di dalam penjara hawa nafsu ini tersedia berbagai-bagai hidangan yang lazat-lazat seperti kekuasaan, kemegahan, kemuliaan, kasihkan puji-pujian, ujub, riak, tamak, dengki dan lain-lain. Jika mahu melepaskan diri dari penjara ini hendaklah berpuasa dari semua makanan yang dihidangkan. Jangan diajak bercakap tentang makanan tersebut kerana jika dibawa kepada perbincangan akan mendatangkan selera. Sembunyikan selera dan lapar walaupun perut bergelora. Sambutlah setiap hidangannya dengan menggelengkan kepala dan palingkan muka ke arah lain. Apabila makanannya tidak dijamah, hawa nafsu tidak ada kuasa lagi memenjarakan seseorang itu. Bebaslah dia keluar dari penjara tersebut.

 Setelah keluar dari penjara nafsu seseorang itu berhadapan pula dengan penjara dunia. Penjara dunia mempamerkan berbagai-bagai jenis keindahan dan keseronokan dan menjanjikan keabadian. Dunia menghidangkan apa sahaja yang menyenangkan dan memecahkan liur. Di dalam penjaranya seseorang dibenarkan melakukan apa sahaja, menikmati apa jua hidangannya tanpa pantang dan larang. Di dalam penjara dunia ini seseorang dikurung di dalam bilik yang bernama syahwat. Kaki dan tangannya dirantai dengan rantai yang bernama kelalaian. Matanya ditutup dengan penutup yang bernama panjang angan-angan. Di dalam penjara ini makanan hawa nafsu masih lagi dihidangkan kerana dunia dan hawa nafsu sentiasa bekerjasama. Oleh itu setelah berpuasa daripada hidangan hawa nafsu seseorang itu perlu pula mendapatkan alat memutuskan rantai yang mengikatnya dan merobohkan dinding penjara tersebut. Alatnya ialah ingat kepada mati dan huru hara selepas kematian. Inilah alat yang boleh membebaskan seseorang dari penjara dunia.

 Setelah keluar dari penjara dunia seseorang itu akan masuk ke dalam penjara akhirat. Hidangan di dalam penjara ini ialah pahala, syurga dan bidadari. Rantai yang mengikat seseorang di dalam penjara ini ialah kehendak atau keinginan atau lebih tepat jika dipanggil kesedaran terhadap diri sendiri. Perhatian kepada diri sendiri yang melakukan amal kebaikan menjadikan seseorang lebih terkongkong di dalam penjara akhirat. Kenderaan yang boleh membawanya keluar ialah ilmu, iaitu ilmu yang boleh melepaskan seseorang dari bersandar kepada amalnya dan melihat bahawa amal kebaikan yang keluar dari dirinya adalah kurniaan Allah s.w.t semata-mata. Tanpa kurniaan rahmat dan petunjuk dari Allah s.w.t nescaya tidak akan ada kebaikan pada dirinya. Apabila seseorang telah kuat berpegang kepada kurniaan Allah s.w.t dia akan bebas dari penjara akhirat.

 Setelah selamat dari penjara akhirat seseorang itu akan masuk pula ke dalam penjara alam malaikat, iaitu penjara alam maujud yang terakhir. Hidangan di dalam penjara ini ialah kehampiran dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t. Rantai pengikat ialah sisa-sisa kehendak diri sendiri dan kesedaran terhadap diri sendiri yang menerima kurniaan Allah s.w.t. Pada peringkat ini perlulah dihapuskan semua sekali kehendak, cita-cita, angan-angan, harapan, hajat, fikiran dan segala yang maujud. Apabila kefanaan dari semua yang maujud dicapai, dapatlah dia keluar dari penjara malaikat.

 Setelah berjaya keluar dari semua jenis penjara alam, seseorang itu masuk ke dalam penjara Ilmu Allah s.w.t. Ilmu Allah s.w.t bukanlah alam, tetapi adalah hal ketuhanan sendiri. Hidangan di dalam penjara ini ialah rahsia yang ghaib-ghaib tentang hukum Allah s.w.t di dalam alam. Dalam suasana Ilmu Allah s.w.t inilah dapat dilihat pentadbiran Ilahi yang menggerakkan alam maya dan semua kejadian yang berlaku di dalamnya. Oleh sebab Ilmu Allah s.w.t sangat luas dan tiada batas sempadan maka penjaranya juga tidak ada sempadan. Sesiapa yang asyik dengan berbagai-bagai ilmu yang terdapat di dalamnya akan terpenjara selama-lamanya di sini, kerana jika mahu dikaji Ilmu Allah s.w.t nescaya seseorang itu akan mati dahulu sebelum sempat mengkaji sebesar zarah dari Ilmu-Nya. Seseorang yang mahu lepas dari penjara ini hendaklah menjadikan ilmu sebagai kenderaan bukan tujuan. Ilmu bukanlah mahkota untuk dijunjung tetapi ia adalah alat untuk berjalan. Apabila ilmu dilayan dengan adil iaitu meletakkannya pada tempat yang patut baginya, dapatlah seseorang itu bebas dari tawanannya.

Bila keluar dari penjara ilmu, diri akan masuk ke dalam penjara makrifat. Ia adalah penjara yang paling kukuh. Ilmu Allah dan makrifatullah bukan lagi alam maujud. Apa yang didapati pada kedua-duanya adalah hakikat-hakikat atau hal-hal ketuhanan. Paling tinggi pencapaian ilmu tentang Allah s.w.t ialah: Tidak tahu dan tidak boleh dikatakan apa-apa, kerana tiada sesuatu menyamai-Nya, menyerupai-Nya atau boleh diibaratkan bagi-Nya. Pada martabat makrifat pula setinggi-tinggi pencapaian ialah: Zat diri-Nya tidak boleh dikenal oleh sesiapa pun. Dia kini adalah sebagaimana Dia dahulu, bahkan tidak ada kini dan dahulu pada-Nya.

 Percubaan untuk mengenal diri Allah s.w.t lebih dari itu adalah sia-sia. Jika dicuba juga maka hasilnya adalah tidak ada apa yang didapati. Sesiapa yang sampai kepada makam makrifat janganlah tinggal terpenjara di dalamnya. Keluarlah dari makrifat baharulah boleh sampai ke Hadrat Allah s.w.t.

 Tajrid atau penanggalan secara keseluruhannya dari segala-galanya adalah syarat untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Seseorang hendaklah melepaskan ilmu pengetahuannya, amal perbuatannya, makrifatnya, sifatnya, namanya dan semua maklumat, dengan demikian dia bertemu dengan Allah s.w.t seorang diri tanpa sebarang bekal. Dia hendaklah melihat tibanya hidayat dan kemurahan Allah s.w.t, bukan hasil dari amal dan ilmunya. Tinggalkan segala-galanya dan masuklah kepada Hadrat Allah s.w.t. Bagaimana mungkin berbuat demikian?

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”. ( Ayat 85 : Surah al-Israa’ )

Apa yang kita tidak mengerti dan tidak mempunyai ilmu tentangnya kecuali terlalu sedikit ialah roh.


Serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)-Ku. ( Ayat 72 : Surah Saad)

Roh yang berkait atau dinisbahkan kepada Allah s.w.t itulah yang menghadap kepada Allah s.w.t dan yang dapat masuk ke Hadrat Allah s.w.t. Roh adalah urusan Allah s.w.t. Bagaimana roh masuk ke Hadrat Allah s.w.t itu juga urusan Allah s.w.t, kamu tidak diberi ilmu tentangnya kecuali  teramat sedikit. Pengetahuan yang sedikit itu ialah: “URUSAN ALLAH S.W.T!”  Jangan disoal dan diusul lagi. Allah s.w.t adalah puncak segala tujuan, penghabisan segala perjalanan dan tumpuan semua permintaan.
 


Tajuk 52
KANDUNGAN