56: AMAL, AHWAL DAN MAKAM |
Hikmat yang lalu mengaitkan nilai amal dengan zuhud hati terhadap dunia. Hati yang zuhud tidak terlindung dari Nur Ilahi. Hati yang menerima cahaya Nur Ilahi akan mendapat pengalaman kerohanian yang dinamakan ahwal (hal-hal). Ahwal yang menetap pada hati dinamakan makam. Orang raghib yang hatinya tertutup dari menerima sinaran Nur Ilahi tidak dapat mengalami ahwal. Hati yang seperti ini tidak dapat bertahan bila menerima ujian. Jiwanya akan menjadi gelisah apabila bermasalah. Syaitan akan menguasai hatinya sepenuhnya. Syaitan akan mengwujudkan gambar-gambar yang menunjukkan cara-cara menyelesaikan masalah yang dihadapi. Cara yang paling disarankan oleh syaitan ialah membunuh diri. Syaitan akan memberi gambaran bahawa membunuh diri adalah penyelesaian yang paling baik dan paling suci. Ada penganut beberapa kepercayaan menganggap membunuh diri satu jenis jihad yang menyampaikan seseorang ke syurga. Pahlawan Jepun dahulu kala membunuh diri jika gagal melaksanakan perintah raja mereka. Wanita Hindu zaman dahulu terjun ke dalam api yang sedang membakar mayat suaminya. Ada pula orang membunuh diri dengan cara berlapar kerana kononnya berjuang menentang kezaliman. Ada orang yang membunuh diri kerana ditinggalkan kekasih dan mereka berasa megah kerana nama mereka akan diukir dalam sejarah sebagai kekasih yang setia. Semua perbuatan tersebut dianggap suci oleh pelaku-pelakunya kerana mereka sudah memiliki nilai kebenaran yang tersendiri, iaitu kebenaran yang lahir dari kilauan cahaya api syaitan, bukan kebenaran yang sejati. Ahli zuhud mengalami hal yang berbeza. Mereka juga menerima bala bencana seperti orang lain, tetapi sebelum hamba-Nya yang dikasihi-Nya itu jatuh ke dalam jurang kebinasaan, Allah s.w.t menyinarkan hati si hamba itu dengan Nur-Nya. Hati zahid yang diterangi oleh Nur Ilahi akan mengalami satu suasana yang dipanggil sabar. Aliran kesabaran berjalan di dalam hatinya dan diteguhkan kedudukan kesabaran di dalam hatinya itu sehingga menjadi keperibadiannya. Dia dikatakan mempunyai sifat sabar. Walaupun tempuh bala bencana sudah tamat, tetapi sifat sabarnya tidak hilang dan berguna dalam menghadapi bencana yang lain pula. Kesabaran yang sudah menjadi sifat hati itu bertindak sebagai tenaga yang menarik sifat-sifat kebaikan yang lain supaya datang kepadanya. Kesabaran yang datang bersama-sama bala bencana yang dihadapinya pertama dahulu dinamakan hal dan kesabaran yang menetap sebagai sifatnya dinamakan makam. Apabila Allah s.w.t mengurniakan hal kepada hamba-Nya, kemudian hal itu menetap menjadi makam, akan terhasillah amal kebaikan yang berterusan, bukan setakat didatangi hal itu sahaja. Hal yang telah menetap dan menjadi makam itu memperteguhkan hati sehingga ia mampu menerima hal-hal yang lain pula. Hal-hal (ahwal) yang datang kemudian itu menetap pula menjadi makam atau sifatnya yang berkekalan. Begitulah hatinya dipenuhi oleh sifat-sifat kebaikan sehingga tidak ada lagi sifat buruk pada hatinya. Kehidupan dunia ini merupakan medan buat manusia membentuk amalannya, iaitu amalan zahir dan amalan batin. Amalan zahir banyak menyentuh aspek kehidupan di dalam dunia. Amalan batin pula banyak menyentuh soal kehidupan sesudah meninggalkan dunia. Amalan batin lebih diutamakan kerana ia mengandungi niat, iman, ikhlas, sabar, reda, tawakal, hanif dan lain-lain yang menentukan nilai sesuatu amal itu. Allah s.w.t mendahulukan peringatan tentang maut daripada peringatan tentang hidup. Maut hanya wujud pada kehidupan dunia ini. Pada kehidupan akhirat maut tidak ada. Hidup yang dibayangi oleh maut ini merupakan ujian. Hidup adalah kesempatan dan peluang untuk membuat persiapan bagi melangkahi jambatan maut, pergi ke tempat yang tidak ada amal dan tidak ada mati. Lihatlah kepada buku catatan amalan masing-masing. Lihatlah kepada usia yang sudah berlalu. Mampukah amalan yang ada menyelamatkan diri sesudah menyeberangi jambatan maut nanti? Allah s.w.t bukakan dua jalan kepada mereka yang masih ada hayat di dunia. Jalan pertama membawa mereka menemui Allah al-Aziz, Maha Perkasa, Maha Keras (Maha Strict), tidak ada kasihan belas kepada pesalah dan hukuman-Nya sangat berat. Jalan kedua membawa mereka menemui Allah al-Ghafur, Maha Pengampun, Maha Bertolak-ansur, Maha Tidak Berkira, dimaafkan-Nya segala dosa walau berapa banyak sekalipun. Buatlah pilihan ketika masih ada hayat dikandung badan. Bagi mereka yang mahu menemui Allah al-Ghafur, Dia memberitahukan caranya. Mereka yang layak berada di bawah naungan rahmat keampunan Allah s.w.t adalah mereka yang dengan kesucian hatinya menyerahkan diri dan jiwa raganya kepada Tuhan. Mereka menolak segala bentuk pertuhanan yang selain Allah s.w.t. Mereka bersedia menjalankan apa jua perintah Allah s.w.t tanpa takwil. Mereka adalah para hamba yang ikhlas atau bertajrid iaitu melepaskan diri dari segala yang mengikat. Tidak ada pergantungan, sandaran, tempat meminta, tempat berharap dan tempat mengadu kecuali Allah s.w.t. Mereka adalah para hamba yang masuk ke dalam urusan Allah s.w.t, dijaga dan dipelihara oleh Tuhan. Orang yang dipelihara kesucian hatinya sehingga ke akhir hayatnya itu akan kembali kepada Tuhannya dengan sejahtera. |
|
|