59 & 60: DOSA DAN BAIK SANGKA

 

TIDAKLAH BESAR SESUATU DOSA MELEBIHI SESUATU YANG MENGHALANG KAMU BERBAIK SANGKA KEPADA ALLAH S.W.T. BARANGSIAPA MENGENAL TUHANNYA NESCAYA MELIHAT KECILNYA DOSA.

TIDAK ADA DOSA KECIL JIKA ALLAH S.W.T MENGHADAPI KAMU DENGAN KEADILAN-NYA DAN TIDAK ADA DOSA BESAR JIKA ALLAH S.W.T MENGHADAPI KAMU DENGAN KURNIAAN-NYA.

Allah s.w.t menurunkan syariat kepada umat manusia melalui nabi-nabi-Nya. Syariat menentukan hukum-hukum yang wajib dipatuhi. Hukum itu terdiri daripada dua jenis, satu yang wajib dibuat dan satu lagi yang wajib tidak dibuat. Perlakuan yang menyalahi hukum dinamakan dosa. Tidak melakukan yang wajib dilakukan adalah berdosa. Melakukan yang wajib tidak dilakukan juga berdosa. Syarat penerimaan dosa adalah kesedaran dan kerelaan hati dalam perbuatan tersebut. Perbuatan yang menyalahi hukum jika dibuat tanpa kesedaran, dan dengan terpaksa tidak dikatakan berdosa. Jika meninggalkan sembahyang kerana tertidur sebelum masuk waktu wajib sembahyang dan terjaga dari tidur setelah luput waktu sembahyang, maka meninggalkan sembahyang selama tempoh tertidur itu tidaklah berdosa. Seorang yang sedang kebuluran dan tidak ada makanan yang halal ditemuinya, yang ada hanyalah seketul daging khinzir yang syariat mengharamkan memakannya, jika dia memakan daging tersebut tidaklah dikira dia berdosa. Jika keadaan tidak sedar sengaja diadakan, seperti sengaja meminum arak kemudian ketika mabuk itu dia melakukan maksiat, maka dia mendapat dua dosa, iaitu dosa meminum arak dan dosa melakukan maksiat setelah sengaja tidak menyedarkan dirinya. Sengaja mengwujudkan suasana darurat untuk menyalahi hukum tidak melepaskan dari beban dosa. Misalnya, seorang pesakit yang membuat alasan penyakitnya hanya boleh sembuh dengan meminum arak menurut nasihat doktor kafir, maka perbuatan meminum arak secara ini hukumnya berdosa.

 Dosa disabitkan kepada pelanggaran syariat dan syariat pula dicipta oleh Allah s.w.t. Jadi, pada hakikatnya dosa adalah ditentukan oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t yang meletakkan hukum. Tidak taat kepada Allah s.w.t itulah sebenarnya dosa. Syariat boleh berubah tetapi Allah s.w.t yang wajib ditaati tidak berubah. Banyak perkara yang diharamkan dalam syariat Nabi Musa a.s dihalalkan dalam syariat Nabi Muhammad s.a.w. Syariat nabi-nabi yang terdahulu tidak menghadkan bilangan isteri-isteri tetapi syariat Nabi Muhammad s.a.w menghadkannya setakat empat orang sahaja dalam satu masa. Jadi, intisari pahala dan dosa bukanlah sesuatu perbuatan itu, tetapi ketaatan atau kederhakaan kepada Allah s.w.t yang menjadi pahala atau dosa. Melakukan gerakan sembahyang jika tidak disertai dengan ketaatan kepada Allah s.w.t, tidak dinamakan bersembahyang. Setiap perbuatan bergantung kepada niat. Perbuatan dilakukan oleh anggota zahir dan niat dilakukan oleh anggota batin iaitu hati rohani. Kelakuan hati itulah yang menentukan pahala atau dosa.

 Semua jenis ibadat hanya diperakui sebagai ibadat jika hati memperakukan ibadat itu kerana Allah s.w.t. Hati yang menentukan nilai perbuatan, bukan perbuatan yang menjadi penentu nilai. Oleh sebab itu perbuatan yang bersalahan dengan hukum tidak menjadi besar jika dibandingkan dengan kelakuan hati yang menafikan kesempurnaan Allah s.w.t dan mengadakan sangkaan buruk terhadap-Nya. Perbuatan dosa yang dilakukan oleh anggota zahir hanya mengotorkan manusia itu sendiri sahaja, tetapi sangkaan buruk terhadap Allah s.w.t mencabar kesempurnaan ketuhanan Allah s.w.t, dan ini jauh lebih besar dosanya. Sebab itu dosa yang paling besar dan tidak diampuni-Nya adalah syirik, iaitu meruntuhkan keesaan ketuhanan Allah s.w.t.

 Manusia yang terkurung di dalam penjara dunia, hatinya dibayangi oleh cahaya api syaitan. Syaitan membawa kepadanya khayalan-khayalan yang membentuk sangkaan. Apabila seseorang itu didatangi oleh keinsafan dan mahu bertaubat dari dosa-dosanya, syaitan akan mengulang-tayang akan perbuatan dosanya dengan gambaran yang sangat hina dan menjijikkan sehingga orang itu merasakan dosanya terlalu besar, tidak mungkin mendapat keampunan Allah s.w.t. Dia tenggelam dalam lautan sangkaan bahawa Allah s.w.t tidak akan mengampunkan dosanya. Seterusnya timbul sangkaan bahawa tidak berfaedah lagi dia melakukan kebaikan kerana dosa-dosa yang lalu menghalang kebaikan yang hendak dilakukannya diterima oleh Allah s.w.t. Jadilah dia seorang yang hidup dengan dosa-dosa yang lalu dan tidak ada kebaikan baharu dikerjakan.

 Tugu sangkaan buruk terhadap Allah s.w.t yang dibina oleh syaitan mestilah dirobohkan. Hikmat 57 telah menganjurkan agar tidak meninggalkan zikir walaupun hati lalai dari apa yang dizikirkan. Zikir yang dilakukan secara paksa itu akan meleburkan sangkaan buruk terhadap Allah s.w.t sedikit demi sedikit, lalu muncullah sangkaan baik. Rohaninya seterusnya meningkat ke darjat yang lebih tinggi, di mana tidak ada lagi sangkaan terhadap Allah s.w.t, tetapi hati mengenal Allah s.w.t dengan sebenar-benar kenal.  Dapatlah dia melihat bahawa niat datangnya dari Iradat Allah s.w.t. Tidak ada suatu kehendak kecuali apa yang bergantung kepada Iradat Allah s.w.t. Tidak ada satu perbuatan kecuali apa yang bergantung kepada Kudrat Allah s.w.t. Pada sisi Allah s.w.t tidak ada yang jahat, semuanya baik belaka. Jahat hanya wujud apabila nafsu manusia mengadakan kehendak dan perbuatan dirinya sendiri, lupa dia bersandar kepada Allah s.w.t. Junaid al-Baghdadi berkata: “Barangsiapa tidak mencapai fana dirinya dan baqa dengan Allah s.w.t, maka semua kebaikan yang dibuatnya adalah mengandungi dosa”.

 Ahli makrifat melihat kecilnya perbuatan dosa jika dibandingkan dengan pengakuan dirinya ada kuasa menciptakan sesuatu perbuatan. Bagi mereka, selagi mereka melihat diri mereka melakukan amalan, selagi itulah amalan mereka mengandungi dosa. Perhatian kepada diri menghijab perhatian kepada Tuhan. Orang arif mengembalikan segala perkara kepada Tuhan. Mereka melihat diri mereka tidak melakukan kejahatan kerana Allah s.w.t menjaga dan melindungi mereka daripada kejahatan. Mereka melihat diri mereka berbuat kebaikan kerana Allah s.w.t mengurniakan kebaikan itu kepada mereka. Tidak terlihat lagi pada mata hati mereka sesuatu apa pun kecuali yang dari Allah, kepada Allah  dan beserta Allah s.w.t.

 Tanpa makrifat seseorang akan melihat amal yang dilakukannya dan dia cenderung untuk mengukur dirinya dengan amalan tersebut. Seterusnya dia menjadikan amalan tersebut sebagai persediaan untuk menghadap Allah s.w.t. Boleh dikatakan dia menjadikan amalannya sebagai tuntutan terhadap Allah s.w.t. Apabila seseorang hamba membawa kepada Allah s.w.t amal perbuatannya, maka Allah s.w.t menerimanya dengan hisab dan perhitungan yang terperinci. Hisab Allah s.w.t sangat halus dan rapi. Tidak ada walau sebesar zarah pun yang terkeluar dari kiraan-Nya. Sebab itu jika kamu dihadapkan kepada keadilan Allah s.w.t, tidak ada dosa yang kecil atau remeh-temeh yang boleh lepas dari kiraan Allah s.w.t. Semuanya besar dan semuanya dikira. Berbeza keadaannya bagi orang yang dihadapi Allah s.w.t dengan kurnia-Nya. Allah s.w.t berfirman:

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang  yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah; maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. ( Ayat 111 : Surah at-Taubah )

Orang yang dibeli oleh Allah s.w.t, menjadi hamba abdi kepada-Nya. Allah s.w.t, sebagai Tuan, menguruskan, memelihara dan menjaga abdi-Nya. Apa juga perbuatan yang dilakukan oleh hamba abdi adalah yang diperintahkan oleh Tuannya. Tuan yang mengeluarkan perintah, Tuan juga yang mempertanggungjawabkannya. Hamba abdi tidak ada pilihan. Lantaran itu apabila Allah s.w.t menghadapi hamba abdi-Nya, maka dihadapi-Nya dengan kurnia-Nya bukan dengan tuntutan. Apabila Allah s.w.t tidak membuat tuntutan, tidak ada dosa dan kesalahan yang besar. Jadi, buatlah keputusan apakah mahu menjadi orang yang mengumpul amal dan membuat tuntutan kepada Allah s.w.t dengan amal itu, atau menjualkan diri kepada Allah s.w.t, menjadi abdi-Nya dan berserah sepenuhnya kepada-Nya.
 


Tajuk 61
KANDUNGAN