77: JANGAN MEREMEHKAN WIRID YANG LAMBAT KEDATANGAN WARID |
Wirid dan warid yang telah disentuh pada Hikmat 64 disinggung lagi dalam Hikmat 77 ini. Orang yang berpegang teguh dengan wiridnya menempuh salah satu dari dua jalan. Jalan pertama adalah jalan ahli akhirat dan jalan kedua adalah jalan ahli Allah s.w.t. Ahli akhirat berpegang teguh pada wiridnya sesuai dengan tuntutan syariat kerana dia mengharapkan balasan syurga dan dijauhkan dari azab neraka. Mereka berpeluang memperolehi kurniaan Allah s.w.t untuk mencapai makam Mukmin. Orang Mukmin adalah orang yang terjamin syurga baginya. Mereka bukan sahaja terjamin mendapat syurga di akhirat, bahkan semasa hidup di dunia lagi mereka mendapat berbagai-bagai kurniaan Allah s.w.t seperti keberkatan pada usaha dan ketenangan pada jiwa. Orang Mukmin berada dalam makam asbab. Keberkatan yang dikurniakan kepada mereka menyebabkan mereka dapat menjalankan kehidupan mereka mengikut kedudukan asbab tanpa bercanggah dengan syariat. Kejayaan mengharmonikan berbagai-bagai anasir dalam dirinya di bawah payung syariat menyebabkan jiwanya menjadi tenang. Jalan kedua adalah jalan ahli Allah s.w.t. Orang yang menjalani jalan ini dinamakan salikin, salik, muridin atau murid. Orang salik mengamalkan wirid bukan kerana berkehendakkan balasan syurga dan bukan kerana mahu mengelakkan seksaan neraka. Tujuannya adalah untuk membersihkan hati dan berharap agar Allah s.w.t mengurniakan kepadanya makrifat. Makrifatullah yang dicari bukan syurga yang dituntut. Apabila memperolehi makrifat dia dipanggil orang arif, iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Seterusnya, kehalusan adab sopannya dan kehalusan kurniaan Allah s.w.t kepadanya menjadikannya orang yang mencintai Allah s.w.t (muhibbin). Walau jalan mana yang ditempuh, di
sana terdapat mereka yang telah berpegang teguh dengan berwirid tetapi
tanda-tanda orang yang berjaya sampai ke puncak tidak kelihatan pada mereka.
Mereka tidak mendapat kurniaan Allah s.w.t dalam bentuk pengalaman kerohanian
yang halus-halus. Tidak ada tanda ahli makrifat dan tidak ada cahaya ahli
muhibbin pada mereka. Kemungkinannya mereka dipandang rendah oleh orang
lain. Orang ramai menilai pencapaian berdasarkan kepada apa yang nyata,
seperti pembuktian dengan kekeramatan, mulut masin atau kefasihan menyampaikan
ilmu makrifat. Pandangan yang demikian merupakan satu kekeliruan. Sebenarnya
kesanggupan untuk mengekalkan wirid sudah merupakan kurniaan yang besar
daripada Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t tidak mengurniakan kepadanya
keteguhan hati tentu mereka tidak sanggup mengekalkan wirid. Keteguhan
hati dalam menjaga wirid adalah warid yang datang dari Allah s.w.t dan
tidak semua orang memperolehinya. Oleh yang demikian janganlah meremehkan
orang yang teguh menjaga wirid sekalipun tidak kelihatan tanda-tanda kecemerlangan
pada mereka.
|
|
|