126 & 127: Kerinduan Untuk Melihat Allah s.w.t |
Hamba Allah s.w.t yang sampai kepada makam makrifat akan berhadapan dengan suasana kehairan-hairanan, di mana segala pertunjukan hilang, segala isyarat lenyap dan segala bahasa menjadi kelu. Allah s.w.t tidak dapat dilihat, tidak dapat diisyaratkan dan tidak dapat dibahasakan. Itulah zat Ilahiat Yang Maha Tinggi, tidak dapat disentuh oleh pandangan, ilmu atau makrifat. Para hamba yang mencintai-Nya akan menderita merindui-Nya. Walau bagaimana pun kerinduan namun, tidak ada cara untuk melihat Zat-Nya Yang Maha Sempurna. Tinggallah hamba dengan hatinya terbakar merindui Kekasih Yang Maha Tinggi, Maha Sempurna, tidak berkuasa dia mencapai-Nya. Hamba yang dalam keadaan begini terpisah jauh dari alam dan isinya. Hatinya kosong dari sekalian makhluk. Pandangannya tidak terlekat pada apa yang dipandang. Dia berada dalam satu suasana ‘di luar’ dari segala sesuatu. Dia berada pada zaman sebelum alam diciptakan, zaman yang tidak ada waktu dan masa, bahkan zaman itu sendiri tidak ada. Hatinya dikuasai oleh keabadian kerana sifat kemakhlukannya sudah hilang. Dia memandang kepada Qadak dan tidak terlihat lagi Qadar. Dia lupa kepada dirinya dan tidak tahu apakah zat dirinya. Dia merasakan telah memasuki satu alam ghaib dan terus menerus ghaib, maha ghaib sehingga dirinya hilang dalam keghaiban itu, bahkan ghaib itu juga hilang. Dirinya tidak boleh ditemui lagi dan dia tidak mengetahui siapakah dirinya yang berdiri di atas muka bumi. Banyak lagi perasaan yang menyelimuti hati seseorang tatkala berada dalam suasana kehairan-hairanan. Jika seseorang pernah merindui seorang gadis yang sangat dicintainya, ketahuilah bahawa kerinduan terhadap Allah s.w.t yang dicintai lebih hebat lagi membakar hati. Orang boleh berdiri tegak selama satu minggu tanpa berkelip matanya lantaran tidak tahan merindui Allah s.w.t, Kekasih sejati. Orang yang sedang merindui Allah s.w.t boleh masuk ke dalam api tanpa terbakar bulu romanya, boleh masuk ke dalam laut tanpa tenggelam. Peringkat ini dinamakan peringkat bahaya, kerana orang ramai yang memahami dan bersimpati dengan pemuda yang menderita kerana merindui gadis yang dicintainya, tidak mengerti rindu-dendam hati yang merindui Allah s.w.t. Tidak ada makhluk yang boleh mengubati hatinya. Tidak ada air yang boleh menghilangkan dahaganya. Kecintaan dan kerinduan yang melanda hatinya membebaskannya dari sekalian yang maujud, mengganggu hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan. Banyak terjadi fitnah terhadap dirinya. Jika dia berlarutan dalam keadaan begitu dia akan terpisah dari menjadi penduduk bumi dan tidak juga menjadi penduduk langit. Dia tidak memikul beban penduduk bumi dan tidak pula memikul beban penduduk langit. Penduduk bumi tenggelam dalam kerakusan terhadap perhiasan dunia dan memperhambakan diri kepada hawa nafsu. Penduduk langit asyik dengan memuji dan memuja Allah s.w.t, berzikir dan membesarkan Nama-Nya. Para pencinta Allah s.w.t bebas dari kedua-duanya dan dia masuk ke dalam makam Sir (Rahsia), rahsia antara Tuhan dengan hamba-Nya. Si hamba menjadi hamba Tuhan secara mutlak iaitu secara awal, akhir, zahir dan batin. Dia menanti warna celupan yang Allah s.w.t akan pakaikan kepadanya. Apabila Allah s.w.t telah mewarnai dirinya mengikut kehendak-Nya sendiri, si hamba itu dikembalikan kepada keinsanannya, menjadi hamba Rabbani yang pekerjaannya hanyalah menjalankan perintah Allah s.w.t yang mengenai dirinya dan juga orang lain. Hamba Rabbani melaksanakan perintah Allah s.w.t tanpa bertangguh dan tanpa timbang-tara. Setiap hukum dijalankan dengan tepat. Hamba yang kembali kepada keinsanan
memiliki semula kesedaran individunya. Dia menyedari dirinya dan makhluk
lainnya. Dia kembali memerhatikan alam dan isinya. Kali ini dia melihat
ciptaan Tuhan dalam keadaannya yang asli. Pandangannya tidak lagi tertipu
oleh kesan ‘adam terhadap alam. Apabila kesan ‘adam telah terhapus dari
pandangan dapatlah dia melihat bahawa Allah s.w.t meliputi sekalian kejadian-Nya.
Ke mana pun dihalakan pandangan di situlah Wajah Allah s.w.t. Dia melihat
ketuhanan Allah s.w.t dalam segala perkara. Ini membuat hatinya terubat
dan dia merasai kedamaian sekalipun tidak melihat Zat Allah s.w.t Yang
Maha Sempurna. Alam maya ini menjadi kitab yang nyata (kitabul mubin)
untuknya berhubung dengan Allah s.w.t, menjadi cermin yang memanjangkan
bayangan Tuhan kepada hatinya. Dia tidak lagi tertanya-tanya di manakah
Allah s.w.t kerana Dia tidak pernah berpisah darinya dan juga tidak berpisah
dengan kejadian-Nya yang lain. Terlepaslah dia dari kekacauan kalbu yang
dihadapi oleh ahli ibadat dan ahli zuhud yang diceritakan oleh Hikmat 125
yang lepas. Makam keteguhan ini adalah makam Sir (Rahsia hati) dan makam
Sir inilah yang memperolehi sembahyang berkekalan (salat daim) kerana Sir
tidak pernah berhenti dan tidak pernah berpaling dari menghadap Allah s.w.t.
Makam ini hanya disediakan kepada hamba pilihan yang telah membuang segala
kepentingan diri sendiri, reda dengan Allah s.w.t dan menjual dirinya kepada
Allah s.w.t dengan harga sabar, reda, tawakal dan ikhlas. Allah s.w.t memakaikan
kepadanya pakaian hamba kepada Maharaja sekalian kerajaan!
|
|
|