55: ZAHID DAN RAGHIB |
Kita telah diajak keluar dari alam kepada Pencipta alam, berhijrah kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Kita diajar supaya memilih sahabat yang dapat membangkitkan semangat untuk berjuang pada jalan Allah s.w.t dan berbuat taat kepada-Nya. Hikmat 55 ini memberi gambaran apakah hijrah rohani itu akan berjaya atau gagal. Alat untuk menilainya ialah dunia. Bagaimana kedudukan dunia di dalam hati akan mempengaruhi perjalanan kerohanian. Manusia terdiri dari dua unsur iaitu tubuh kasar dan hati seni. Gabungan dua unsur tersebut membuat manusia boleh berfungsi sebagai cermin yang boleh membalikkan wajah yang memandang kepadanya. Tubuh kasar adalah umpama muka cermin yang gelap dan hati seni pula umpama muka cermin yang terang. Gabungan badan yang gelap dan hati yang terang menyebabkan manusia berkebolehan untuk menerima pancaran Nur Ilahi atau disebut juga menerima tajalli, iaitu melihat sesuatu tentang Allah s.w.t dengan mata hati. Malaikat hanya mempunyai tubuh yang terang dan binatang pula hanya mempunyai badan yang gelap. Makhluk yang mempunyai hanya satu jenis badan tidak sesuai untuk menjadi cermin yang menerima sinaran Nur Ilahi. Manusia dalam keadaan keasliannya berkebolehan menerima sinaran Nur Ilahi, iaitu menerima tajalli Allah s.w.t. Tetapi, keadaan yang asli itu tertutup, terpendam atau tertimbus kerana manusia hidup dalam dunia. Dunia menjadi anasir yang merosakkan keharmonian gabungan badan yang gelap dengan hati yang terang. Di dunia wujud satu makhluk bangsa jin yang dijadikan daripada cahaya api dan dinamakan syaitan. Cahaya api ini berkebolehan untuk menyelinap masuk ke dalam badan manusia yang gelap dan mengubah suasananya sehingga hilang fungsinya sebagai cermin yang menahan cahaya. Oleh sebab gangguan cahaya api itulah hati manusia tidak dapat menerima sinaran Nur Ilahi. Nur Ilahi yang memancarkan tanda-tanda, peringatan dan sebagainya tidak melekat pada cermin hati, sebaliknya cahaya tersebut menyeberang keluar. Walaupun nabi-nabi membacakan ayat-ayat Allah s.w.t dan memperlihatkan mukjizat, tetapi hati yang demikian tidak dapat menerimanya. Apa yang datang itu berlalu begitu sahaja tidak terlekat pada hati. Manusia yang demikian, yang kebolehannya yang asli terganggu itu dinamakan si raghib. Hati si raghib yang sudah menjadi cermin yang tembus cahaya, akan menerima kedatangan kebenaran secara samar-samar kerana yang sejati tidak melekat pada cerminnya. Kesamaran itu akan menimbulkan keraguan dan sangkaan. Dalam keadaan demikian si raghib tidak lagi melihat kebenaran yang asli. Sangkaan telah menggubah ‘kebenaran’ yang dilihat oleh si raghib itu. Bila cahaya yang asli tidak melekat pada hati, syaitan memainkan peranannya dengan memancarkan cahayanya kepada hati untuk menambahkan kesamaran dan kekeliruan . Hasilnya muncullah jelmaan yang mengambil alih tempat kebenaran. Jelmaan itulah yang dianggap sebagai kebenaran oleh si raghib. Dalam suasana demikian, sekiranya dia beramal, maka amalannya berpandukan kepada jelmaan yang dipancar oleh syaitan bukan bersumberkan kebenaran yang asli. Walaupun banyak amal yang dilakukannya namun, tidak ada yang menepati dengan yang benar, dan tidak ada nilainya. Orang yang mendapat petunjuk dari Allah s.w.t menyedari kesilapan yang berlaku kepada si raghib, dan dia akan berusaha untuk mengembalikan keaslian dirinya dengan memisahkan hatinya dari dunia dan cahaya api yang menerangi dunia. Dia berusaha untuk keluar dari dunia. Keluar dari dunia bukan bermakna mati. Maksudnya ialah mengwujudkan suasana hati yang tidak ada dunia di dalamnya. Ketika membincangkan Kalam Hikmat 51 telah disentuh tentang cara-cara melepaskan diri dari penjara dunia. Apabila dunia tidak mampu lagi mengenakan tipu daya, seseorang manusia itu akan kembali kepada keasliannya yang berkebolehan menangkap kebenaran. Tidak ada lagi kesamaran dan jelmaaan yang mengganggu hatinya. Apa yang datang kepada hatinya adalah kebenaran yang sejati, tidak dibayangi oleh kepalsuan. Orang yang telah bebas dari penjara dunia itu dinamakan zahid yang bersifat zuhud Si zahid melihat sesuatu sebagaimana semestinya dilihat. Apabila dia beramal maka amalnya bertepatan dengan sebagaimana yang mesti diamalkan. Apa juga amal yang keluar daripadanya adalah amal yang benar dan tidak sia-sia. Sebab itu tidak boleh dianggap sedikit amal yang keluar dari si zahid. Hati hendaklah bebas daripada kasihkan dunia, kemegahan dan kemuliaannya. Kepentingan duniawi akan menghilangkan sifat ikhlas daripada hati. Orang yang ikhlas, walaupun hidup dalam dunia, melakukan kebaikan kepada makhluk Allah s.w.t tanpa memandang kepada apa juga tawaran yang dibuat oleh dunia. Hubungan amalan yang ikhlas dengan Tuhan adalah ketaatan bukan kepentingan. Hamba melakukan kebaikan dan kebajikan atas dasar melakukan pengabdian kepada Allah s.w.t. Hamba yang mengabdikan diri kepada Allah s.w.t melakukan segala pekerjaan dengan ikhlas kerana Allah s.w.t. Mereka tidak mempersekutukan amal mereka dengan sesuatu, baik anasir alam mahupun kepentingan diri sendiri. Merekalah hamba Allah s.w.t yang hanif, yang sentiasa berpegang kepada kebenaran. Kehanifan itu menjadi kemudi pada hati mereka. Hati akan segera memberontak jika kebenaran diperkosakan. Bila hati sudah dikemudikan oleh sifat hanif, haluan akan lari daripada kesesatan. Diri yang demikian akan dipenuhi oleh ketaatan kepada Allah s.w.t. Jadi, ikhlas, tidak berbuat kemusyrikan dan kesesatan, hanif dan mentaati Allah s.w.t adalah agama yang sebenarnya. Ahli-ahli sufi bersepakat bahawa jika diisikan
dunia ke dalam hati pasti tidak akan ditemui Allah s.w.t, dan sekiranya
Allah s.w.t bertempat di hati pasti tidak ada dunia di dalamnya. Orang
yang memiliki hati yang diisikan dengan Allah s.w.t semata-mata adalah
orang yang benar-benar berjiwa besar. Orang yang meletakkan dunia di atas
takhta kerajaan hatinya adalah orang yang cuba menipu Allah s.w.t dan kaum
muslimin seluruhnya.
|
|
|