76: MURID YANG TERPEDAYA |
Hikmat 75 menceritakan tentang istidraj yang dialami oleh orang yang lalai daripada peringatan Allah s.w.t, Hikmat 76 ini pula mengingatkan murid yang berjalan pada jalan kerohanian supaya gejala istidraj itu tidak menimpanya ketika dalam perjalanan. Bagi orang awam tidak bersyukur dengan kurniaan Allah s.w.t boleh menyebabkan tersingkirnya rasa nikmat yang mengiringi kurniaan itu. Bagi orang Mukmin di samping bersyukur adalah penting baginya memelihara adab sopan bersama-sama Allah s.w.t. Mungkin saranan supaya beradab sopan bersama-sama Allah s.w.t bunyinya janggal bagi orang awam, tetapi bagi mereka yang mendekati Allah s.w.t, mereka dapat merasakan kehadiran Allah s.w.t pada setiap masa dan di mana sahaja. Apabila seseorang itu meyakini bahawa Allah s.w.t sentiasa bersama-samanya walau di mana dia berada, Allah s.w.t mendengar pertuturannya dan bisikan hatinya maka dia berkewajipan memelihara adab sopan sebagai hamba yang berdiri di hadapan Tuannya. Bertambah hampir seseorang dengan Allah s.w.t bertambah pula tuntutan adab sopan ke atasnya. Perjalanan menuju Allah s.w.t bukanlah perjalanan mencari kemuliaan sama ada kemuliaan duniawi atau ukhrawi. Perjalanan ini adalah tindakan menghinakan diri di hadapan Allah s.w.t, kerana hina, lemah dan jahil adalah sifat makhluk, hanya Allah jua Yang Mulia, Yang Berkuasa dan Yang Mengetahui. Sekalian makhluk berkehendak kepada-Nya dan Dia Maha Kaya, tidak berkehendak kepada sesuatu apa pun. Adab sopan yang paling utama dijaga adalah yang menyentuh keyakinan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan sekalian alam, Maha Bijaksana dan Maha Mengerti dalam urusan mentadbir dan menguruskan penghidupan sekalian makhluk yang dicipta-Nya. Seorang hamba hendaklah yakin kepada kebijaksanaan Tuannya. Terserah kepada Tuannya memilih layanan yang hendak diberikan kepada si hamba itu. Ibrahim bin Adham telah menceritakan
kisah beliau membeli seorang hamba. Berikut adalah percakapannya dengan
hamba yang dibelinya itu:
Ibrahim bin Adham berfikir, sekiranya dia hamba Allah s.w.t tentu dia menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Beginilah adab sopan seorang hamba Allah s.w.t dengan Allah s.w.t. Seorang yang mengaku sebagai hamba Allah s.w.t tidak seharusnya membeberkan hajat keperluannya. Bukankah Allah Maha Mengerti dalam mengatur keperluan hamba-Nya. Seorang hamba berdiri di hadapan Tuannya tanpa mengemukakan tuntutan, tanpa sebarang kehendak, cita-cita dan alasan. Reda dengan lakuan Tuannya itulah sifat hamba yang sejati. Seorang murid yang sedang dalam perjalanan masih belum teguh sifat redanya terhadap takdir Allah s.w.t, lantaran itu dia cenderung untuk membeberkan hajatnya kepada Allah s.w.t, seolah-olah Allah s.w.t tidak melihat keadaannya. Banyaklah permintaannya kepada Allah s.w.t. Dia mungkin meminta Allah s.w.t melepaskannya dari sesuatu yang tidak disenanginya tanpa berfikir bahawa yang tidak disenanginya itu mungkin mendatangkan kebaikan baginya. Dia mungkin meminta didekatkan kepada Allah s.w.t kerana dia merasakan dia sudah layak didekatkan. Dia mungkin meminta kekeramatan agar orang ramai mengakui kebenarannya. Tuntutan-tuntutan yang demikian menunjukkan tiada sopan santun seorang hamba kepada Tuannya, iaitu Allah s.w.t yang sempurna pengertian-Nya dan sempurna pembahagian-Nya. Walaupun si hamba itu telah tidak
bersopan di hadapan Allah s.w.t, mungkin dia tidak dihukumkan dengan serta-merta.
Ini membuat si hamba tadi menyangka bahawa tiada salah pada adabnya. Ini
menandakan kejahilannya.. Dia tidak sedar bahawa kurang beradab sopan itu
sudah merupakan balasan terhadapnya. Lebih buruk lagi dia tidak dikurniakan
pengalaman kerohanian yang lebih mendalam. Apabila dia memutuskan penyerahan
terhadap Allah s.w.t, putus juga perjalanannya mendekati Allah s.w.t. Tetapi
dia masih menyangkakan yang dia terus mendekati Allah s.w.t. Apabila dia
dibiarkan menurut sangkaannya itu bermakna dia dijauhkan tanpa dia menyedarinya.
Begitulah hebatnya akibat tidak menjaga adab sopan dengan Allah s.w.t.
Jika seorang murid tidak mahu putus kesopanannya dengan Allah s.w.t maka
hendaklah dia mendekati Allah s.w.t dengan kesabaran. Pintu kesabaran adalah
pintu yang paling hampir untuk masuk ke Hadrat Allah s.w.t. Senjata yang
paling kuat mempertajamkan kesabaran ialah ucapan:
Dalam perkara adab sopan bersama-sama
Allah s.w.t ini termasuk juga adab sopan terhadap Rasul-rasul-Nya, Malaikat-malaikat-Nya
dan Kitab-kitab-Nya. Imam as-Syafi’e dalam menghuraikan Hadis yang bermaksud
“Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri nescaya dipotong tangannya”,
dibaca oleh Imam as-Syafi’e, “Sekiranya perempuan yang mulia anak kepada
lelaki yang mulia itu mencuri nescaya dipotong tangannya”. Begitulah halusnya
sopan santun Imam as-Syafi’e, sehingga beliau enggan menyebut ibarat yang
boleh menunjukkan kecacatan terhadap Rasulullah s.a.w dan puteri baginda
yang mulia itu. Orang-orang Islam yang beradab sopan tidak memperkaitkan
Rasulullah s.a.w dengan Abu Lahab, tidak membesarkan perkara yang tidak
elok yang berlaku di Makkah, tidak menyentuh al-Quran tanpa wudhuk, tidak
membacanya di tempat membuang air, tidak membuang najis dengan menghadap
ke kiblat dan banyak lagi perkara yang termasuk dalam adab sopan beragama
yang menjadi kewajipan bagi orang yang mengaku beragama Islam menjaganya.
Jangan memandangnya sebagai perkara yang remeh-temeh kerana setiap raja
mempunyai peraturan atau taman larangan, dan peraturan atau taman larangan
Tuhan ialah adab sopan dalam majlis-Nya. Oleh sebab seseorang itu tidak
luput dari penglihatan Allah s.w.t walau sejenak pun maka sepanjang masa
seseorang itu berada dalam majlis-Nya dan berkewajipan memelihara adab
sopan atau peraturan-Nya.
|
|
|