111: Uns (Jinak Hati Dengan Allah s.w.t) |
Kehidupan ini pada zahirnya dikawal oleh
hukum sebab musabab. Hukum sebab musabab berjalan melalui makhluk, maka
kelihatanlah tindakan makhluk mencorakkan berbagai-bagai keadaan dan peristiwa.
Kehidupan ini adalah umpama sebuah keretapi. Pengalaman yang diharungi
oleh seseorang menjadi batang-batang besi sambung menyambung membentuk
landasan dan memaksa keretapi bergerak mengikut arah yang terbentuk.
Keretapi tersebut bergerak mengheret gerabak-gerabak yang muatannya adalah
berbagai-bagai anasir yang berkumpul dalam sistem sebab musabab, terdiri
daripada berbagai-bagai jenis makhluk, memakai berbagai-bagai rupa dan
nama. Semakin banyak sistem sebab musabab yang dikumpulkan semakin banyak
juga makhluk yang mengenderai keretapi. Jika bahan yang dibawa terlalu
banyak enjin keretapi tidak terdaya menarik gerabak-gerabak yang penuh
dengan muatan itu. Keadaan ini memaksa keretapi berhenti kerana kehabisan
tenaga. Tatkala itu semua bahan-bahan yang dimuatkan ke dalam gerabak keretapi
perlu dinilai semula. Hasil daripada penilaian semula akan didapati banyak
daripada muatannya adalah bahan yang tidak berguna. Sebahagiannya adalah
sampah sarap dan sebahagian lagi benda-benda sisa buangan yang kotor dan
menjijikkan. Banyak juga sisa toksid yang memudaratkan.
Ketika di dalam suasana asbab, ahli asbab yang menghadapi makhluk yang bertindak dalam sistem sebab musabab akan mengadakan sebab musabab juga untuk melepaskan dirinya dari sebab musabab yang menguasainya. Kadang-kadang sebab musabab yang mendatang mengatasi kekuatan sebab musabab yang diciptanya. Dalam perkara ini, yang mendatang dapat mengalahkannya. Ini menyebabkan jiwanya berasa tertekan. Bila tekanan itu menjadi sangat kuat dan dia tidak berdaya menahannya, dia akan memberontak dengan melawan sistem sebab musabab itu sendiri, termasuklah makhluk yang terlibat dalam arus sebab musabab. Perlawanan yang dilakukannya bukanlah mengadakan sebab musabab yang lebih kuat, tetapi dia menentang dengan cara membebaskan dirinya dari sebab musabab, iaitu dia melepaskan rantai kekuasan makhluk terhadap dirinya. Dia menanggalkan asbab dan digantikannya dengan tajrid. Dalam suasana asbab hati menghadap kepada makhluk dan sibuk melayani kerenah makhluk yang mendatanginya. Bila hati melangkah kepada suasana tajrid ia akan menghadap kepada Tuhan dan tidak mengambil berat tentang kerenah makhluk. Hati hanya mempunyai satu muka. Jika ia menghadap kepada makhluk ia membelakangi Tuhan dan jika ia menghadap kepada Tuhan ia membelakangi makhluk. Apabila Allah s.w.t berkehendak memberi taufik dan hidayat kepada hamba-Nya, hati hamba itu dipalingkan kepada-Nya. Hati yang menghadap kepada Allah s.w.t akan merasakan jalinan kemesraan dengan-Nya. Hati menyukai apa yang Allah s.w.t sukai. Ia gemar melakukan amal ibadat kerana Allah s.w.t sukakannya. Ia sanggup melakukan amal ibadat dengan banyak semata-mata kerana mahu menggembirakan Allah s.w.t. Tidak ada niat untuk dunia atau akhirat. Segala-galanya kerana Allah s.w.t. Suasana hati yang begini dinamakan uns, iaitu hati berasa jinak dengan Allah s.w.t. Uns adalah sebahagian daripada pengalaman hakikat. Ia memberi tenaga kepada rohani agar kuat menempuh dugaan yang hebat dan gemar melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh. Uns menjadi tenaga yang membawa cinta-kasih yang mendalam terhadap Allah s.w.t. Cinta-kasih menjadi tangga untuk mencapai muraqabah. Muraqabah (bebas hati dari pengaruh makhluk) menjadi tangga untuk mencapai peringkat yang lebih tinggi, di mana hati nurani disinari oleh Nur Ilahi Yang Maha Suci membuka Cinta Hakiki yang tidak terbatas kepada zat Yang Maha Esa. Tanda seseorang itu dibukakan kepadanya pintu uns yang boleh membawa kepada pintu-pintu lain adalah orang yang berkenaan tidak berminat untuk melayani kerenah makhluk. Dia lebih suka bersendirian dengan khalwatnya. Kegiatannya adalah mengingati Allah s.w.t sepanjang masa, ketika duduk, berdiri dan berbaring. Dalam suasana yang demikian terbukalah kepadanya pintu hikmah untuk menyaksikan kebesaran Allah s.w.t pada sekalian kejadian-Nya. Al-Quran menceritakan hubungan hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan banyak mengingati-Nya sehingga terbuka pintu tafakur untuk mengenali Allah s.w.t: Hati yang sudah berpaling kepada Allah s.w.t dipalingkan daripada tipu daya syaitan. Begitulah, apabila Allah s.w.t mahu menolong
hamba-Nya, dijinakkan hati hamba itu agar menghadap kepada-Nya dan dipelihara-Nya
hati itu daripada musuh-musuhnya.
|
|
|