DUA
NIKMAT YANG TIDAK TERPISAH MAKHLUK DARI KEDUA-DUANYA DAN TIDAK DAPAT TIDAK
BAGI SETIAP MAKHLUK MAUJUD DARI KEDUA-DUANYA, ITULAH NIKMAT DICIPTAKAN
DAN NIKMAT YANG MENYUSUL (SETELAH DICIPTAKAN).
ALLAH
S.W.T MEMBERI NIKMAT KEPADA KAMU KALI PERTAMANYA DENGAN MENCIPTAKAN KAMU
DAN KALI KE DUANYA DENGAN MELENGKAPI KEPERLUAN KAMU.
Semua makhluk asalnya tidak ada. ‘Adam
(yang tidak ada) adalah zat makhluk. Apabila Allah s.w.t berkehendak menciptakan
makhluk maka disinari-Nya ‘adam dengan cahaya nur Wujud-Nya lalu ‘adam
menjadi maujud. Makhluk dalam aspek zatnya yang asli adalah ‘adam (tidak
wujud) dan dalam aspek kewujudan adalah ciptaan Allah s.w.t yang bergantung
kepada Wujud Allah s.w.t. Nikmat pertama yang dikurniakan Allah s.w.t kepada
‘adam (zat makhluk) adalah nikmat penciptaan iaitu ‘adam diterangi dengan
cahaya nur Wujud Allah s.w.t, lalu terciptalah makhluk. Bagi ‘adam apabila
Allah s.w.t kurniakan kepadanya kewujudan itu merupakan nikmat yang sangat
besar, tidak ada yang selain Allah s.w.t dapat berbuat demikian.
Bertasbihlah mensucikan
nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari sifat-sifat kekurangan), - Yang
telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya
dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya; Dan Yang telah mengatur
(keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan
keselamatannya dan kesempurnaannya); ( Ayat 1 – 3 : Surah
al-A’laa )
Dan Allah menciptakan
tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara
mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan
dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan
apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya
Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 45 : Surah
an-Nur )
Yang menciptakan
tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakan-Nya kejadian
manusia berasal dari tanah; Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu
dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang;
Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya; roh ciptaan-Nya.
Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati
(akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu yang
bersyukur. ( Ayat 7 – 9 : Surah as-Sajdah )
Setelah memberinya nikmat kewujudan
Allah s.w.t mengurniakan pula nikmat ke dua, iaitu keberlangsungan kewujudan
itu. Pada nikmat pertama ‘adam memperolehi taraf al-khalaq (makhluk atau
ciptaan) dan pada nikmat ke dua makhluk mendapat taraf abd (hamba yang
mempunyai Tuan yang menguruskan kehidupannya). Makhluk memperolehi kewujudan
dan abdi meneruskan kewujudan serta ada Qadar untuknya. Setiap abdi Allah
s.w.t disediakan ketentuan untuknya dan tidak ada abdi yang lain dapat
menghalangnya dari menikmati apa yang telah Allah s.w.t peruntukkan kepadanya.
Telah diperuntukkan sejumlah nafas yang akan dihirupnya, rezeki yang akan
dinikmatinya, umur yang akan dijalaninya dan berbagai-bagai lagi yang tidak
mungkin disenaraikan. Tidak ada kewujudan abdi yang boleh berkata Tuhan
menciptakannya kemudian membiarkannya begitu sahaja. Abdi yang pada mulanya
tidak ada, sebaik sahaja dia menjadi ada, didapatinya segala keperluan
kewujudan dan kesinambungan kewujudannya telah pun disediakan oleh Allah
s.w.t. Begitulah besarnya nikmat susulan yang mengiringi nikmat penciptaan
yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Setiap hamba-Nya menerima
layanan yang adil dari-Nya tanpa mengira apakah mereka ahli taat atau ahli
maksiat. Nikmat-Nya merata kepada semua penciptaan-Nya.
Dia (Allah) yang
menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju
dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh
langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
( Ayat 29 : Surah al-Baqarah )
Bahkan siapakah yang
telah mencipta langit dan bumi; dan menurunkan hujan dari langit untuk
kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman dan kebun-kebun
(yang menghijau subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak
berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama
Allah? (Tidak!) bahkan mereka (yang musyrik) adalah kaum yang menyeleweng
dari kebenaran (tauhid). Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat
penetapan; dan telah menjadikan sungai-sungai di antara bahagian-bahagiannya;
dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang menetapnya; dan juga telah
menjadikan di antara dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula
jadi) yang memisahnya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah?
(Tidak!) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui. Atau
siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa
kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti
(umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang
tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati
(nikmat Allah itu). Atau siapakah yang menunjukkan jalan kepada kamu dalam
gelap-gelita darat dan laut, dan yang menghantarkan angin sebagai pembawa
berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya? Adakah sebarang
tuhan yang lain bersama-sama Allah? Maha Tinggilah keadaan Allah dari apa
yang mereka sekutukan dengan-Nya. Atau siapakah yang memulakan kejadian
sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya),
dan siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Adakah
sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Katakanlah (wahai Muhammad):
“Bawalah ke mari keterangan-keterangan kamu, jika betul kamu orang-orang
yang benar”. ( Ayat 60 - 64 : Surah an-Naml ) |