109 & 110: Hamba Berhajat Kepada Tuhan |
Allah s.w.t menyempurnakan nikmat-nikmat
penciptaan dan keberlangsungan kewujudan hamba-hamba-Nya. Wujud makhluk
bergantung kepada Wujud Allah s.w.t dan kesinambungan kewujudan makhluk
bergantung kepada kurniaan Allah s.w.t. Apa sahaja yang diciptakan oleh
Allah s.w.t tidak boleh melepaskan diri dari pergantungan kepada Allah
s.w.t. Keadaan berhajat kepada Allah s.w.t ini menjadi sifat asli bagi
makhluk. Tidak ada satu pun makhluk yang mampu meneruskan kewujudan dan
kehidupannya tanpa sokongan dari Allah s.w.t.
Orang yang telah lupa kepada keaslian diri mereka perlu diberi peringatan. Peringatan yang datang kepada mereka juga dalam bentuk sebab musabab. Mereka dibiarkan mengadakan sebab tetapi akibat yang sesuai dengan sebab tersebut ditahan, sebaliknya akibat yang tidak diduga dilepaskan. Mereka dihadapkan dengan keadaan di mana sebab tidak mampu mempengaruhi akibat. Ikhtiar mereka tidak menghasilkan pulangan yang sepatutnya diperolehi. Ini membuat mereka berasa kecewa dengan sebab-sebab. Kekecewaan tersebut mengalihkan pandangan mereka kepada sifat keaslian mereka iaitu berhajat kepada Allah s.w.t yang menguasai semua sebab dan akibat. Mereka dapat melihat dengan jelas bahawa berpegang kepada hukum sebab musabab tidak melepaskan pergantungan mereka kepada Allah s.w.t. Sebab musabab adalah perkara yang datang kemudian sedangkan susunan tadbir Allah s.w.t datang lebih dahulu, menemaninya sejak mula hinggalah sampai bila-bila. Tidak ada kekuatan sebab musabab yang dapat mengubah apa yang telah diatur oleh Allah s.w.t. Peraturan Allah s.w.t sahaja yang menyambung penghidupan mereka, bukan sebab musabab yang datang kemudian. Orang yang melihat kepada hakikat ini hanya mengambil sebab musabab sebagaimana layaknya sebagai manusia tetapi mereka tidak meletakkan keberkesanannya kepada sebab musabab. Kekuasaan Allah s.w.t sahaja yang menentukan keberkesanan sesuatu sebab. Oleh sebab itu sifat asli hamba yang berhajat kepada Allah s.w.t tidak dapat diangkat oleh sebab musabab yang datang kemudian daripadanya. Seseorang yang kembali kepada keasliannya
mengakui akan keadaan dirinya yang lemah dan berhajat kepada Allah s.w.t.
Mereka akan mengisi setiap ruang dan waktu kehidupannya dengan memperteguhkan
pergantungannya kepada Allah s.w.t. Zahirnya mengadakan sebab musabab tetapi
batinnya berserah kepada Allah s.w.t yang menguasai semua sebab dan menentukan
akibat. Dia menghayati nikmat kesinambungan kewujudan sebagai hamba Allah
s.w.t. Dia menjalani kehidupan yang penuh dengan sebab musabab tanpa mengalih
pandangan daripada as-Samad, Tuhan yang dihajati oleh semua makhluk.
|
|
|